Raja memerintah dengan kuasa naungan,
Segalanya berlandaskan akal dan minda,
Kami bukannya "maha-banduan",
Kebajikan kamilah keutamaan anda.
Pantun di atas ingin saya tujukan kepada pihak Hal Ehwal Pelajar Kolej Kediaman E, UMS. Maafkan saya kalau terdapat sebarang kesilapan dalam pengunaan struktur ayat atau tatabahasa. Namun tujuan pantun ini tulis adalah ingin mengingatkan anda semula tentang tanggungjawab anda terhadap pelajar-pelajar yang menghuni di Kolej Kediaman E.
Pada minggu lalu, saya dikhabarkan dengan satu pengumuman yang menyatakan semua penghuni di kolej kediaman E dikehendaki mengosongkan bilik masing-masing semasa cuti semester ini. Mengikut pengetahuan saya, perkara ini adalah susulan hasrat pihak HEP yang ingin menyediakan tempat tinggal bagi peserta-peserta bagi satu acara sukan yang bakal diadakan pada cuti semester ini. Yuran RM5.00 sehari juga akan dikenakan sekirannya pelajar ingin terus menggunakan bilik kediaman.
Mengikut tradisi, pengosongan bilik hanya akan dilakuan pada setiap pengakhiran sesi pembelajaran iaitu setahun sekali. Ini adalah kerana setiap pemohonan untuk mendiami di kolej kediaman adalah untuk tempoh satu sesi pembelajaran. Ya, saya faham bahawa terdapat acara yang akan berlangsung dan tempat tinggal harus disediakan untuk tetamu-tetamu, tetapi jumlah itu hanyalah minoriti. Berdasarkan kapasiti yang sedia ada, perlukah seluruh kolej kediaman dikosongkan? Mungkin setiap rumah hanya satu bilik yang perlu dikosongkan dan tidak semua penghuni akan terjejas. Penghuni yang terjejas juga boleh menumpangkan benda kepunyaan mereka di bilik sebelah. Pihak HEP banyak kerja sangatkah sampai tidak boleh membuat perancangan ini? Orang luar diberi keutamaan dan penghuni-penghuni jagaan anda diabaikan. Bak kata pepatah "Anak di pangku dilepaskan, anak beruk di hutan disusukan". Tolonglah, sedar sedikit tentang kebajikan siapakah yang harus anda utamakan. Setiap tahun diadakan pengundian dan pemilihan JAKMAS tetapi kebajikan diabaikan.
Peraturan dan etika di kolej kediaman juga merupakan salah satu isu di sini. Penghuni-penghuni di kolej kediamaan sering diberi amaran(sampai ada yang dirampas kad matrik) untuk tidak berseluar pendek di kawasan kolej kediaman. Kalau pendek sangat itu saya fahamlah bahawa itu dah keterlaluan. Tapi yang menghairankan seluar pendek yang melepasi paras lutut juga dilarang. Saya sangat betul nak tanya ini kepada pihak HEP, sangat tak senonohkah kalau seseorang itu memakai seluar pendek yang melepasi paras lutut? Itu juga anda kira seksi? Mana lebih tak senonoh, berseluar panjang yang ketat sampai nampak bentuk kaki atau seluar pendek yang melepasi paras lutut yang longgar?
Kalau seseorang itu pakai seluar pendek pergi ke kafe atau pejabat HEP bolehlah diterima kalau dia diberi amaran. Tetapi yang nak keluar ke bandar atau tempat lain yang memakai seluar pendek juga ditahan pihak HEP. Siapakah anda untuk menghalang hak pemakaian orang? Ini merupakan cerita benar dimana pernah sekali kawan saya yang baru balik daripada bandar berseluar pendek menunggang motorsikal disoal pihak HEP. Seluar pendek yang saya maksudkan adalah yang melepasi pihak lutut. Kawan saya menjelaskan bahawa dia balik dari bandar tetapi dia terus diberi amaran. Tidak munasabah langsung.
Mengapa isu pakaian ini saja yang dipandang serius? Bagaimana pula dengan isu seperti merokok di kolej kediaman dan isu kebersihan kafe makanan? Jangan anda kata anda tidak tahu. Selaku pelajar, saya seolah-olah tengah diberitahu bahawa merokok di kolej kediaman bukanlah isu besar. Di luar sana, kerajaan bertungkus-lumus menghapuskan amalan merokok, tetapi di dalam sebuah universiti kerajaan isu ini hanyalah isu remeh. Tunggak pendidikan negara kononnya.
Kad matrik merupakan satu-satunya identiti pengenalan kami di dalam universiti. Kad matrik boleh diumpamakan seperti kad pengenalan bagi seorang rakyat di sesebuah negara. Kalaulah Polis Diraja Malaysia hanya boleh sekadar memeriksa dan menyalin maklumat kad pengenalan kami dan tidak berhak merampas kad pengenalan kami tanpa arahan makhamah, apakah hak pihak HEP untuk merampas kad matrik pelajar?
Akhir kata, bukanlah untuk mencabar atau menjatuhkan sebarang pihak tetapi ini merupakan suara pendapat saya. Kalau benarlah hanya menjalankan tanggungjawab, pastikan di manakah keutamaannya. Sila pastikan peraturan dipatuhi anda dahulu sebelum memastikan orang lain mematuhi peraturan. Penghormatan hanya dapat dikecapi melalui teladan yang baik dan bukannya penindasan atau membuli. Bak kata pepatah " Raja adil raja disembah, raja tak adil raja disanggah".
0 comments:
Post a Comment